Segerakan Taubatmu !

Posted by Investasi Thursday 18 July 2013 0 komentar
"Kalau kamu melihat betapa dekatnya kamu dengan kematian, nescaya kamu tidak akan sanggup untuk menangguhkan lagi taubatmu !"

Telah berapa banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada kita meskipun kita sebagai hamba-Nya ini terus-menerus berbuat dosa dan maksiat kepada-Nya.

Semalam berbuat dosa, tetapi hari ini Dia masih mahu membangunkan kita setelah kita dimatikan seketika di malam hari.

Semalam, kehidupan kita dipenuhi dengan kelalaian serta kealpaan kepada-Nya, tetapi hari ini Dia masih memberikan hari baru kepada kita.

Umpama seorang majikan dengan pekerjanya. Majikan terus-menerus memberikan gaji dan menjaga kebajikan pekerjanya meskipun pekerjanya itu tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkannya dan tidak melakukan tugasnya dengan baik. Kalau di syarikat-syarikat ternama dan profesional, pekerja jenis ini sudah lama dipecat.

Kita di dunia ini adalah ibarat pekerja itu.

Tinggal lagi Allah masih memberikan ruang kepada kita, belum ‘memecat’ kita dari kehidupan ini. Maka, apakah kita masih berleka-leka lagi untuk tidak mengambil peluang yang telah Allah berikan itu?

Allah S.W.T. Sebaik-Baik ‘Majikan’Allah s.w.t. adalah sebaik-baik ‘majikan’. Kalau kita bekerja dengan manusia, mustahil sekali orang yang malas, tidak memenuhi syarat yang dikehendaki, tidak serius dalam bekerja akan kekal lama di dalam syarikat.

Tetapi, Allah s.w.t. masih terus memberikan peluang kepada kita untuk memperbaiki prestasi diri kita meskipun kita berkali-kali tidak benar-benar memanfaatkannya dengan baik.

Sudahlah kehidupan ini dipinjamkan oleh Dia, tubuh ini, nyawa ini adalah hak milik Dia, kemudian diberikan lagi nikmat-nikmatNya kepada kita, tetapi kita pula masih terus-terus lupa dan lalai kepada-Nya, bermain-main dan tidak bersungguh dalam mentaati-Nya.

Di dalam ibadah kita, kita tidak benar-benar berusaha untuk khusyuk dan fokus. Lakukan hanya sekadar untuk memenuhi rutin harian sebagai seorang muslim. Kadangkala, rasa nak solat, solat. Tak nak solat, tak solat. Begitu juga puasa dan ibadah-ibadah kita yang lain.

Akhlak kita, kadangkala tidak mencerminkan bahawa kita ini adalah hamba kepada Allah s.w.t. Kita bongkak, riak, rasa besar diri dengan apa yang kita miliki. Sedangkan kita ini hanyalah hamba. Apa yang ada pada diri kita, semuanya hanyalah pinjaman dari Allah s.w.t. Tidak ada sesuatu pun yang kita miliki dalam hidup ini melainkan semuanya adalah kepunyaan Allah s.w.t.

Kita lalai dan alpa. Kita lupa bahawa kita di dunia ini ada tugasan dan tanggungjawab. Kita adalah para ‘pekerja’ Allah s.wt. di dunia ini.

Biar siapapun kita di dunia ini, biar apapun pangkat dan kedudukan kita di dunia ini, kita CEO syarikat ke, kita guru besar sekolah ke, kita Pengarah Syarikat ke, kita Menteri ke, siapapun kita, kita semua adalah sama di sisi-Nya.

Kita adalah para pekerja-Nya yang sedang dinilai !

Kalau kita CEO, tetapi kita main-main dalam ibadah kita, kita tidak jujur menguruskan syarikat, menggelapkan wang syarikat, pecah amanah, kita pasti akan disoal di depan Allah kelak dengan apa yang telah kita lakukan.

Sekiranya kita adalah seorang guru besar atau imam masjid, kita pasti akan disoal apakah yang telah kita didik masyarakat kita. Adakah mereka menjadi semakin baik atau sebaliknya? Adakah kita sendiri telah berusaha menjadi contoh yang baik dalam masyarakat kita?

Kita akan disoal kerana kita adalah para ‘pekerja’ Allah di setiap bidang yang kita ceburi.

Maka Untuk Itu, Segerakanlah, Jangan Tangguh Taubatmu !
Antara penghalang terbesar kepada kejayaan dan kemuliaan umat Islam adalah penangguhan taubat.

Ramai yang bersikap ‘tidak apa’ bila telah terjebak dengan dosa. Lama-kelamaan, sikap belepas tangan sebegitu menyebabkan lahirnya orang yang merasa ringan dengan dosanya. Dosa umpama lalat hingga di hidung semata-mata, bukan lagi gunung yang menghempap dirinya.

Kerana penangguhan taubat inilah, Allah tangguhkan juga kemuliaan dan kemenangan untuk umat Islam. Sebab itu, meskipun umat Islam saban tahun bertambah, meskipun umat Islam ada yang kerja dan kedudukannya hebat, ada yang hartanya mencurah-curah, tetapi umat Islam terus-menerus dihinakan. Dituduh sebagai pengganas, wanita-wanitanya dizalimi, ada negara yang ditindas dan sebagainya.

Maka, segerakanlah taubat kita, jangan pernah menangguhkannya.Hari baru yang Allah berikan, adalah peluang besar untuk kita memohon ampun terhadap dosa-dosa semalam.

Kalau hari baru pun kita masih gunakan untuk terus-menerus menjadi hamba yang alpa, maka hari baru bukan lagi menjadi satu rahmah, tetapi satu istidraj, iaitu ujian yang akan menjauhkan lagi kita dari Allah s.w.t.

Allah s.w.t., meski sebesar apapun silap kita, meski sekotor apapun kejahatan yang telah kita lakukan, selama mana kita tidak mensyirikkan Dia, Dia masih tetap membukakan pintu taubat seluas-luasnya untuk kita membersihkan diri dan kembali merapati-Nya semula.

“Sesungguhnya Allah itu melebarkan tangan-Nya pada waktu malam untuk mengampunkan dosa di waktu siang, dan melebarkan tangan-Nya di waktu siang untuk mengampunkan dosa di waktu malam.” [ HR Muslim]

Di dalam satu hadis Qudsi  yang mafhumnya :

“Wahai anak Adam ! Sesungguhnya kalau kamu meminta dan berharap kepada-Ku, pasti Aku akan ampunkan kamu dengan apa yang telah kamu lakukan dan Aku tidak peduli.

Wahai anak Adam ! Walaupun dosa kamu mencecah langit sekalipun, kemudian kamu meminta ampun pada-Ku, nescaya Aku akan ampunkan, dan Aku tidak peduli.

Wahai anak Adam ! Kalau kamu datang kepada-Ku dengan dosa seisi bumi ini pun, kamu bertemu Aku dalam keadaan kamu tidak mensyirikkan-Ku, nescaya Aku akan datang pula kepada kamu dengan keampuan seisi bumi ini juga.”
[HR Tirmizi]

Betapa penyayangnya Allah terhadap hamba-Nya, meskipun dalam keadaan kita banyak mengingkarinya, Dia masih membukakan seluas-luas pintu untuk kita kembali kepada-Nya. Membukakan pintu untuk kita membersihkan diri. Membukakan pintu untuk kita beristighfar, memohon ampun terhadap dosa-dosa kita.

Maka, mengapa kita masih mahu bertangguh-tangguh mengejar keampunan-Nya sedangkan hari-hari kita telah berlalu dengan penuh kelalaian dan kealpaan kepada-Nya?

Taubat – Jalan Mengembalikan Kita Kepada Kemuliaan Hidup
Taubat adalah jalan yang telah dilalui oleh orang-orang soleh sebelum kita. Para sahabat Nabi s.a.w., mereka adalah orang yang telah melaluinya.

Mereka yang dahulunya menentang Nabi s.a.w. sewaktu hidup di dalam jahiliah, tetapi saat mendapatkan kesedaran di dalam jiwa mereka, mereka telah bertaubat dan bersungguh-sungguh mencari pengampunan Allah s.w.t.

Kalau dahulu menjadi penentang, selepas bertaubat dan bersama Nabi s.a.w, mereka adalah para pendokong Islam yang paling tegar sekali.

Taubat telah mengembalikan ummat kepada kemuliaan hidup suatu ketika dahulu.

Taubat juga membuatkan kehidupan terasa lebih bermakna, hati terasa lebih tenang menghadapi kehidupan, kerja-kerja kita juga terasa lapang.

Segerakanlah bertaubat !
Bersihkan diri kita dari dosa-dosa yang lepas di saat yang masih ada pada kita sekarang kerana kita tidak tahu apakah masih ada seketika lagi untuk kita atau apakah masih ada esok untuk kita?

Bersihkan diri kita, istighfar, minta ampun kepada Allah, hentikan diri kita daripada meneruskan dosa dan kelalaian kita serta iringilah kehidupan kita dengan melakukan banyak kebaikan.

Jangan sampai kita ‘dipecat’ dalam keadaan kita sedang lalai dan bermain-main dengan tanggungjawab kita kepada-Nya.

Segerakanlah !



sumber : http://langitilahi.com/
TERIMA KASIH ATAS KUNJUNGAN SAUDARA
Judul: Segerakan Taubatmu !
Ditulis oleh Investasi
Rating Blog 5 dari 5
Semoga artikel ini bermanfaat bagi saudara. Jika ingin mengutip, baik itu sebagian atau keseluruhan dari isi artikel ini harap menyertakan link dofollow ke https://investasiakhiratku.blogspot.com/2013/07/segerakan-taubatmu.html. Terima kasih sudah singgah membaca artikel ini.
Anda Ingin Tampil Gaya / Beda? (Klik Disini) => Jaket Kulit Asli Pria dan Wanita - M u r a h By: TV | INVESTASI AKHIRATKU.